Selasa, Mei 19, 2009

SAMBUTAN HARI GURU SKR 2009...



Selamat Hari Guru kepada semua cikgu-cikgu di seluruh Malaysia walau di mana pun berada. Isnin, 18 Mei 2009 SKR menyambut Sambutan Hari Guru. Acara dimulakan seawal jam 8.00 pagi, guru-guru diarak dengan paluan kompang dan muzik gamelan oleh murid-murid SKR. Majlis dimulakan dengan Perhimpunan Rasmi. Antara aturcaranya ialah Bacaan Perutusan daripada Ketua Pengarah Pelajaran KPM dan Menteri Pelajaran, Bacaan Ikrar Guru, Deklamasi Puisi Guru Oh! Guru dan Nyanyian Lagu-lagu Guru Malaysia, Lagu Tema Hari Guru 2009.




9.00 pagi
Sempena Hari Guru beberapa acara telah dirancang dan dijalankan pada hari tersebut antaranya ialah Pertandingan Tuju 'Tugu' dan pertandingan Teh Tarik (Buih paling tinggi). Tanpa sedar sebenarnya guru-guru SKR sememangnya mempunyai bakat-bakat yang terpendam. Bukan sahaja boleh mengajar dan mendidik anak murid malahan berpotensi menjadi pemain bola baling dan bola jaring yang cukup handal. Lepas ni bolehlah jadi Jurulatih Kebangsaan. Ada juga yang berbakat dan berpotensi untuk membuka restoran mamak seperti Restoran As-salam. Tengok saja kebolehan cikgu-cikgu SKR membuat teh tarik.Ha! Lepas ni kepada guru-guru yang berbakat tu janganlah dipendam sahaja bakatnya. Walaubagaimanapun guru-guru SKR sememangnya 'sporting' dan sentiasa menggamatkan suasana.





Wajah-wajah warga pendidik SKR yang sentiasa menggamatkan keadaan





Agak-agak siapa pemenangnya?

.............@)--)---...............

10.00 pagi

'Pi Cameron Highlands singgah Tanah Rata Perut lapar tidak terkata'
Jamuan telah tersedia, acara seterusnya sudah tentulah acara 'makan time'. SKR bukan sahaja meriah dengan gelak tawa guru-gurunya tapi juga makanan-makanan yang disediakan. Ada di antara guru-guru SKR yang cari resepi dalam internet untuk disediakan sempena sambutan Hari Guru. Terima kasih cikgu-cikgu di atas makanan yang enak-enak belaka. Selepas makan ialah acara bertukar-tukar hadiah. Acara yang ditunggu-tunggu oleh guru-guru.








11.30 pagi
Acara seterusnya ialah acara persembahan daripada anak-anak SKR. Beberapa persembahan telah disediakan antaranya ialah persembahan nyanyian daripada murid-murid tahun 6, persembahan Nyanyian murid tahun 3, pakaian beragam, Persembahan Ulik Mayang dan banyak lagi.






Sambutan hari guru SKR berakhir pada jam 1.00 tengah hari. Walaupun ada aktiviti yang tidak dapat dijalankan kerana kesuntukan masa, diharap guru-guru SKR gembira dengan aktiviti yang dijalankan. Sekali lagi, Selamat Hari Guru buat selurh warga pendidik SKR. Semoga akan terus sukses dan cemerlang pada masa akan datang.


Warga Pendidik SK Rambah


'Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar, Ibarat bunga kembang tak jadi..'

Selasa, Mei 12, 2009

PERTANDINGAN BORIA KARVINAL PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH 2009

Tarikh : 6 Mei 2009

Hari : Rabu

Tempat : Dewan Orang Ramai Ayer Baloi

Peringkat : Daerah Pontian


Pada tahun ni SKR menghantar Pasukan Boria Perempuan. Memandangkan pasukan boria tahun lepas (lelaki) kebanyakannya murid tahun 6. Tahun ni Boria hanya melibatkan murid tahun 4 dan 5 sahaja. Pada pertandingan kali ini SKR telah mendapat tempat ketiga. Johan telah disandang oleh SK Serkat dan tempat kedua disandang oleh SK Bandar Pontian. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Jumaat, April 17, 2009

PERTANDINGAN REKA CIPTA KEMAHIRAN HIDUP

1 April 2009 SKR telah menghantar 4 orang murid ke Pertandingan Reka Cipta Kemahiran Hidup yang diadakan di SK Permas Kelapa. SKR diwakili oleh Muhamad Safiuddin B. Sukiat, Mohamad Syafiq B. Mohd Adabi, Zaty Nur Aqilah Bt. Zulkarnain dan Fatin Atiqah Huda Bt. Husin. Projek yang dihasilkan ialah 'Kotak Alatan Serba Guna'. Pertandingan bermula pada pukul 2.30 petang dan tamat pada pukul 4.00 petang. Pada akhir pertandingan SKR telah diumumkan tempat ketiga dalam pertandingan. Tempat kedua disandang oleh SK Sungai Durian dan tempat pertama SK Parit Sulaiman. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Khamis, April 16, 2009

PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT DAERAH PONTIAN

Tarikh : 16 April 2009
Hari : Khamis
Tempat : SMK Batu 34, Jalan Johor
Peringkat : Daerah Pontian




Pada saat-saat akhir SKR telah mengambil keputusan untuk menghantar pasukan Kawad Kaki Puteri Islam. Dalam masa lebih kurang 10 hari pasukan SKR dilatih oleh guru-guru SKR sendiri dengan penuh kesungguhan. Pertandingan bermula pada pukul 10.00 pagi dan SKR telah mendapat giliran kedua. Ini bermakna pasukan SKR perlu bersiap sedia awal pagi. Guru-guru SKR tak putus-putus memberikan semangat kepada mereka. Dan akhirnya pada tarikh 16 April 2009 tepat jam 1.30 petang SKR telah dinobantkan tempat kedua dalam Pertandingan Kawad Kaki peringkat daerah Pontian. Sekali lagi SKR juga diumumkan Ketua Platun terbaik dalam pertandingan ini. Tahniah Zaty kerana dapat memimpin pasukan dengan baik. Tahniah diucapkan kepada pasukan Kawad Kaki sekolah.

Ahad, April 12, 2009

MAJLIS TADARUS AL-QURAN DAN AKTIVITI MAAL HIJRAH SEKOLAH-SEKOLAH DAERAH PONTIAN 2009

TARIKH : 11 APRIL 2009
HARI : KHAMIS
TEMPAT : SK SERI SENANG HATI
PERINGKAT : DAERAH PONTIAN



Sekali lagi SKR menghantar wakil Pertandingan Hafazan dan Nasyid ke peringkat Daerah Pontian. Kali ni Pertandingan dijalankan di SK Seri Senang hati, Benut, Pontian. Jauh juga dari sekolah. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan.
Nama SKR mengukir sejarah sekali lagi di mana Mohamad Syafiq B. Mohd Adabi peserta hafazan SKR telah mendapat Johan dalam peringkat daerah Pontian. Tahniah Syafiq. Tahniah juga kepada pasukan nasyid walaupun tidak berjaya.

Rabu, April 08, 2009

PERTANDINGAN BOLA SEPAK SEKOLAH-SEKOLAH ZON KUKUP

07 April 2009 Sekolah Kebangsaan Rambah menjadi tuan rumah untuk Pertandingan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Zon Kukup yang diadakan di Padang JPS Rambah, Pontian, Johor. Pertandingan antara 14 pasukan yang disertai oleh 13 buah sekolah berlansung bermula seawal 8.00 pagi. Pertandingan dijalankan dengan begitu meriah ditambah lagi dengan kehadiran penyokong-penyokong luar termasuk ibubapa murid-murid. Johan pertandingan telah berpihak kepada SK Andek Mori dan Naib Johan ialah SK Belokok. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan. Tahniah juga kepada pasukan sekolah, walaupun tidak berjaya ke separuh akhir tetapi pasukan sekolah telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang. Tahniah sekali lagi. 4 orang dari pasukan SK Rambah telah terpilih untuk ke peringkat daerah pada 14 April 2009. Latihan akan bermula pada hari Khamis (9 April 2009) di Padang JPS Rambah. Semoga pasukan Bola Sepak Zon Kukup akan berjaya dalam pertandingan di peringkat daerah nanti. Selamat berjaya...

Ahad, April 05, 2009

KEJOHANAN SUKAN OLAHRAGA MSSM ZON KUKUP 2009

Pada 19 dan 21 Februari 2009 SKR telah menghantar peserta olahraga dalam Kejohanan Olahraga MSSM Zon Kukup di Padang SMK Telok Kerang. Dalam kejohanan tersebut peserta sekolah telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang. Pasukan sekolah telah mendapat 4 pingat emas, 2 pingat perak dan 4 pingat gangsa. 2 orang peserta SKR telah dinobatkan sebagai Olahragawan Bawah 10 dan Bawah 12 tahun. Selain dari itu juga SKR juga telah menggondol Naib Johan Keseluruhan Peringkat Zon Kukup. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat. Semoga SKR akan terus cemerlang dalam bidang sukan.

Sabtu, April 04, 2009

PERTANDINGAN BORIA, PPDa DAERAH PONTIAN 2008



Naib Johan
Pertandingan Boria
Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah 2009
Peringkat Daerah Pontian